
Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) (Pejabat TNCAA), UTeM telah mengadakan lawatan penanda aras ke Jabatan Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (JHEAA UMPSA) pada 10 September 2025. Lawatan ini diadakan bagi memperkukuh pengurusan hal ehwal akademik dan antarabangsa melalui perkongsian pengalaman serta amalan terbaik yang dipraktikkan oleh JHEAA UMPSA.
Delegasi Pejabat TNCAA UTeM telah disambut mesra oleh En. Abd Rahman bin Hj Safie, Pengurus Besar JHEAA UMPSA, sebelum sesi perbincangan dua hala berlangsung antara kedua-dua pihak. Delegasi yang diketuai oleh En. Muhamad Sopian bin Baharom, Timbalan Pendaftar Pejabat TNCAA, turut diberi pendedahan berkaitan pengurusan Mesyuarat Jawatankuasa Akademik & Antarabangsa (JKAA MTUN), strategi pengantarabangsaan serta penggunaan teknologi digital bagi mempertingkat keberkesanan tadbir urus akademik. Pertemuan ini telah menjadi medan penting dalam menjana idea baharu bagi memperkukuh sistem pengurusan dan pentadbiran akademik di UTeM.
Di akhir sesi, YBhg. Lt. Kol. Profesor Dato’ Ir. Ts. Ahmad Ziad bin Sulaiman, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa UMPSA, turut hadir bagi bersama-sama meraikan delegasi serta menyempurnakan penyampaian cenderamata. Lawatan ini diharap dapat memberi nilai tambah kepada UTeM dalam menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Mesyuarat JKAA MTUN pada mesyuarat akan datang. Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada pihak JHEAA UMPSA atas sambutan mesra serta perkongsian ilmu yang amat bermanfaat sepanjang lawatan in